𝗠𝗔𝗝𝗟𝗜𝗦 𝗔𝗣𝗥𝗘𝗦𝗜𝗔𝗦𝗜 𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗛𝗔𝗞𝗜𝗠𝗔𝗡 𝗦𝗬𝗔𝗥𝗜𝗔𝗛 𝗡𝗘𝗚𝗘𝗥𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗜𝗦 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟱

𝟯 𝗢𝗞𝗧𝗢𝗕𝗘𝗥 𝟮𝟬𝟮𝟱 - Majlis Apresiasi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) Tahun 2025 telah diadakan bagi meraikan kejayaan kontinjen Perlis dalam Multaqa' Mahkamah Syariah Tahun 2025 (MUM’S 2025) yang lalu. Selain itu, majlis ini turut diadakan sempena pertukaran dan berpencen pegawai dan kakitangan jabatan bagi menghargai sumbangan mereka sepanjang berkhidmat di JKSNPs.
Majlis pada hari ini bertambah seri dengan kehadiran tetamu kehormat, YB Muhammad Azmir bin Azizan, Exco Agama Negeri Perlis bersama-sama ketua-ketua/ wakil jabatan dari agensi-agensi agama, iaitu Tuan Haji Mohd Nazim bin Haji Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Khairulanuar bin Ahmad, Pengarah/Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perlis, Puan Maizura binti Shamsuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri dan Sahibus Samahah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim, Timbalan Mufti Negeri Perlis.
Dalam ucapan YAA Tuan Haji Jaidi bin Ahmad, Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi tajaan, sumbangan serta sokongan padu kepada Kontinjen Perlis dalam Kejohanan MUM’S. Sokongan tersebut telah menjadi pemangkin kepada kejayaan cemerlang kontinjen, sehingga berjaya meletakkan Negeri Perlis sebaris dengan negeri-negeri yang lebih besar dan berdaya saing — meskipun Perlis hanya dapat menyertai 8 sahaja daripada 18 acara. Beliau turut memberikan ucapan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang diraikan atas segala sumbangan tenaga, idea, masa dan dedikasi sepanjang berada dalam jabatan ini. Mereka bukan sahaja rakan sekerja, malah menjadi sebahagian daripada keluarga besar JKSNPs.
YB Muhammad Azmir bin Azizan, Exco Agama turut merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan Kontinjen Perlis dalam Kejohanan MUM’S, yang jelas membuktikan bahawa Negeri Perlis memiliki potensi besar untuk bersaing dengan negeri-negeri lain. Walaupun perlu berusaha lebih gigih berbanding negeri yang lebih besar, pencapaian ini menunjukkan semangat juang dan komitmen luar biasa warga Perlis dalam mengharumkan nama negeri. YB turut mendoakan kejayaan yang berterusan dan kehidupan yang bahagia serta diberkati buat pegawai dan kakitangan yang diraikan.
Dalam MUM’S 2025 yang lalu, Kontinjen Perlis telah berjaya mendapat 10 pingat, iaitu 4 Emas, 2 Perak dan 4 Gangsa dan berada di kedudukan tujuh terbaik dari 15 pasukan yang bertanding. Dalam majlis ini, penghargaan diberikan kepada pemenang-pemenang pingat dalam MUM’S 2025, iaitu bagi acara Bowling VVIP, Congkak Veteran, Bowling (W) Individu, Bowling (W) Beregu, Ping Pong (W) Campuran, Petanque (W) Individu, Karom (L) Beregu, Karom (W) Beregu, Dart (W) Trio dan Karom (Campuran) Beregu. Kejayaan ini merupakan hasil komitmen tinggi, semangat berpasukan dan latihan berterusan oleh semua atlet dan pegawai pengiring.
Majlis ini turut meraikan pertukaran pegawai kanan, iaitu YA Tuan Abdul Shukor bin Abd. Hamid, Haki Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perlis yang bertukar ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 8 September 2025 atas kenaikan pangkat dan Puan Umiyah binti Sulaiman, Pembantu Tadbir (P/O) yang bertukar ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis bermula 1 Ogos 2025 yang lalu. Seterusnya, turut diraikan adalah Sarjan Shahrim bin Che Ramadan, anggota polis yang bertugas di JKSNPs yang berpencen mulai 1 Ogos 2025. Terima kasih diucapkan kepada semua yang diraikan atas segala sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan kepada jabatan ini. Semoga terus cemerlang di tempat baharu dan dikurniakan kesihatan, keberkatan dan ketenangan yang berterusan.
Majlis ini berjalan lancar dan penuh bermakna, menggambarkan komitmen JKSNPs dalam meraikan pencapaian dan menghargai sumbangan warganya. Harapannya agar usaha ini dapat memupuk semangat kekitaan serta memperkukuh budaya kerja cemerlang dalam perkhidmatan kehakiman Syariah khasnya.
