𝐏𝐄𝐌𝐀𝐍𝐓𝐀𝐏𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐃𝐁𝐈𝐑 𝐔𝐑𝐔𝐒 𝐒𝐘𝐀𝐑𝐈𝐀𝐇 𝐃𝐈 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐋𝐈𝐒



JUMAAT | 24 APRIL 2026
Telah berlangsung satu Mesyuarat Penyelarasan Bersama antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) bertempat di Bilik Mesyuarat Ketua Hakim Syarie, JKSNPs pagi tadi.
Mesyuarat yang bermula jam 9:00 pagi ini merupakan platform penting bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua jabatan. Fokus utama perbincangan adalah bagi menyelaraskan isu-isu berkaitan Nikah, Cerai, dan Rujuk (NCR) demi memastikan kemaslahatan umat Islam di Negeri Perlis sentiasa terpelihara.
Delegasi JKSNPs diketuai oleh YAA Tuan Haji Jaidi bin Ahmad, Ketua Hakim Syarie (KHS) Negeri Perlis dan turut hadir bersama ialah Ketua Pendaftar - Tuan Khairul Azwadi bin Mohamed Noor, Pendaftar Mahkamah Syariah (MTS) - Tuan Mohamad Al Hafid bin Ismail, Pegawai Penyelidik KHS - Tuan Azman bin Rajamin, Pegawai Penyelidik Hakim MTS - Tuan Mohamad Fahmi bin Mohamad Idris, Pegawai SULH - Puan Syahira Alimi binti Mat Ali dan Encik Ibrahim bin Zaini.
Delegasi daripada JAIPs pula diketuai oleh Pengarah JAIPs, Puan Maizura binti Shamsuddin dan turut hadir bersama beliau ialah Ketua Penolong Pengarah (KPP) serta wakil daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam.
Antara intipati yang dibincangkan termasuklah:
1. Penyelarasan Prosedur: Memastikan setiap proses berkaitan NCR selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
2. Penyelesaian Isu Berbangkit: Menangani cabaran teknikal di lapangan bagi mempercepatkan urusan pelanggan.
3. Kebajikan Keluarga: Memastikan hak-hak pihak yang terlibat dalam urusan mahkamah dan pendaftaran nikah dilindungi dengan adil dan saksama.
Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan memberikan impak positif dalam kualiti penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam di Negeri Perlis.
"SYARIAH ASAS KEADILAN"
