MUZAKARAH SYARIAH KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PERLIS TAHUN 2025
Tarikh : 19 – 21 Jun 2025
Tempat : Hotel Hompton By The Beach, Pulau Pinang
Anjuran : Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis
Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) telah menganjurkan program MUZAKARAH KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PERLIS TAHUN 2025 yang dihadiri oleh YAA Tn Hj Jaidi bin Ahmad, Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis dan juga Hakim-hakim Syarie serta pegawai-pegawai JKSNPs.
Di dalam ucapan perasmian oleh YAA Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, beliau mengingatkan bahawa Institusi Kehakiman Syariah merupakan salah satu tiang seri di dalam pelaksanaan undang-undang Islam. Ia bukan sahaja menjadi medan penyelesaian pertikaian dikalangan Masyarakat Islam dengan berdasarkan hukum syarak, tetapi juga memainkan peranan besar dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap keadilan Islam itu sendiri.
Beliau juga menegaskan bahawa integriti adalah asas utama di dalam tugas seorang hakim. Tanpa integriti, runtuhlah kepercayaan masyarakat terhadap sistem keadilan. Para hakim dan semua pegawai mahkamah mempunyai tanggungjawab moral dan profesional untuk memastikan keadilan ditegakkan berdasarkan ilmu, hikmah dan integriti.
Hakim-hakim Syarie dan semua pegawai JKSNPs perlu menyedari bahawa mereka bukan hanya menggalas tanggungjawab menegakkan hukum hakam agama, malah mereka juga sedang menggalas amanah melaksanakan bidangkuasa Kehakiman Syariah yang diletakkan dibawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Raja pemerintah seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Program muzakarah ini melibatkan kehadiran panel-panel jemputan yang merupakan pakar rujuk di dalam bidang masing-masing. Panel-panel jemputan itu adalah YA Dato’ Dr. Arik Sanusi bin Yeop Johari (Hakim Mahkamah Tinggi Negeri Perlis), YA Prof. Madya Dr. Akram bin Dato’ Dahaman@Dahalan (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perlis), YA Tuan Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin Jamalullail (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perlis), YA Prof. Madya Dr. Roshimah binti Shamsudin (Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Perlis) dan Tuan Mohd Nazim bin Mohd Noor (CEO MAIPs).
