Bidang Kuasa Mahkamah - Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis

 

(1)  Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan apa-apa rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

 

(2) Apabila suatu rayuan daripada sesuatu keputusan Mahkamah Rayuan Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk diputuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan rayuan itu dan keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan rayuan itu.

 

(3) Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, is hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan yang difikirkannya adil bagi pemberesan rayuan itu.

 

 

 

(1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Perlis dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah.

 

(2) Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Hakim Syarie boleh bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan mengetuai Mahkamah itu.

 

(3) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah :

 

(a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum dibawah  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perlis atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuatkuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

 

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah  orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan :

 

          (i) pertunangan, perkahwinan, ruju', perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara

              yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

 

         (ii) apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

 

         (iii) nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;

 

         (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

 

         (v) wasiat atau alang semasa marad-al-maut;

 

         (vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang orang Islam;

 

        (vii) wakaf atau nazr;

 

        (viii) pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;

 

        (ix) penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang

              kepadanya masing-masing orang itu berhak;

 

        (x) pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

 

        (xi) pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan

 

        (xii) perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

 

 

 

(1) Sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Perlis dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah.

 

(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah :

 

     (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalah yang dilakukan oleh seseorang orang Islam di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Perlis atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam yang baginya hukuman maksimum yang diperuntukan oleh Enakmen atau mana-mana undang-undang bertulis itu tidak melebihi tiga ribu ringgit, atau pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya, dan boleh mengenakan mana-mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

 

    (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak temasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

 

(3) Duli Yang Maha Mulia Raja Pemerintah boleh dari semasa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta memperluaskan bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.

 

 

splwpk-procurement HRMIS MYHRMIS MOBILE