Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera, Salam Perlis, Salam 1 Malaysia
بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum wrt. wbt. Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan segala limpah kurniaan-Nya kita diberi kudrat untuk meneruskan kesinambungan bagi melaksanakan amanah Allah SWT di maka bumi ini. Semoga dengan kehadiran tahun baru ini dimulakan dengan semangat dan azam yang baru serta dibuka segala pintu kebaikan oleh Allah SWT Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.
Pertamanya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga JKSNPs atas pencapaian yang. Bagi tahun ini, JKSNPs telah berjaya melaksanakan segala perancangannya dengan cemerlang.
Sebagai Ketua Jabatan, sukacita saya ingin maklumkan bahawa, pada tahun lepas jumlah pendaftaran semua kes adalah sebanyak 1889 kes. Daripada jumlah tersebut sebanyak 1552 atau 82% kes telah berjaya diselesaikan manakala 337 kes atau 18% masih didalam prosiding.
Pada tahun ini, JKSNPs telah merancang pelbagai program untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai khususnya rakyat negeri Perlis. Pihak jabatan juga akan berusaha melaksanakan inovasi baru melalui Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) bagi memacu perubahan yang lebih baik dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisyen dan berkesan kepada masyarakat.
Dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan keberkesanan dan kecekapan jentera pentadbirannya melalui penggunaan teknologi maklumat, saya berharap agar Laman Web jabatan menjadi salah satu medium informasi kepada masayarakat. Penggunaan e-mel dikalangan kakitangan perlu dioptimumkan bagi tujuan komunikasi dan seterusnya menyumbang ke arah pengwujudan persekitaran paperless.
Saya berharap agar semua kakitangan akan berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter untuk memastikan perkhidmatan kaunter yang diberikan oleh pihak jabatan memuaskan hati pelanggan dan seterusnya mewujudkan perkhidmatan kaunter yang mesra pelanggan.
Sebagai Hakim Syarie di Negeri Perlis ini, besar harapan saya sekiranya masih ada kes-kes tertunggak di Negeri Perlis ini, ianya dapat diselesaikan dengan segera. Sekiranya punca tertangguhnya kes-kes tersebut disebabkan faktor kelemahan mahkamah, maka ianya perlulah diperbaiki dan ditangani segera.
Saya mengingatkan kepada diri saya dan semua kakitangan terutamanya para Hakim dan petugas kaunter agar memberikan layanan yang baik dan menghormati pihak-pihak sewaktu prosiding sedang berjalan termasuklah menghormati peguam-peguam yang mewakili kes. Berlemah lembut bukan bermakna kita boleh dipergunakan sebaliknya dengan mempamerkan sikap tegas boleh meningkatkan lagi rasa hormat pihak-pihak kepada Mahkamah.
Saya berharap pada tahun ini, JKSNPs akan lebih cemerlang dengan program dan aktiviti yang dirancang khususnya untuk JKSNPs sendiri dan umumnya untuk rakyat dan masyarakat Negeri Perlis.
Akhir kalam daripada saya, terima kasih sekali lagi kepada semua atas segala usaha dan tenaga yang telah dicurahkan. Semoga jabatan yang kita sayangi ini akan terus bergerak maju dan menjadi institusi kehakiman syariah yang berwibawa berteraskan keadilan.
Inshaa Allah....
Sekian, Wassalam.
KETUA HAKIM SYARIE
JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PERLIS