faq jksnhubungi jksnmaklumbalas jksnpeta jksn

Mukaddimah

Agama Islam telah menggariskan panduan didalam menguruskan manusia yang mungkin berbalah didalam sesuatu perkara sama ada hal agama ataupun tidak. Walaupun bukan didalam hal keagamaan Islam telah menunjukkan kepada kita semua, bagaimana perbalahan itu boleh diselesaikan diantaranya ialah dengan cara “Sulh” iaitu kedua-dua pihak yang bertelagah diberi ruang untuk menyampaikan tuntutan masing-masing dihadapan pegawai yang khusus untuk cuba membantu pihak-pihak bagi menyelesaikannya.

Al-quran telah memberikan panduan yang jelas sepertimana dalam Surah An Nisa’ ayat 128 yang bermaksud “ Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz atau sikap tidak acuh daripada suaminya, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka). Walupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (daripada nusyuz dan sikap tak acuh) maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.”

Ayat diatas secara jelas memberikan panduan kepada kita semua supaya jika wujud perbalahan khususnya antara suami dan isteri hendaklah dijalankan secara sulh kerana ianya menepati kehendak Allah dan akan mencapai natijah yang baik.

Amalan Sulh di Mahkamah Syariah

Di Mahkamah Syariah terdapat satu unit yang disebut unit Sulh yang bertujuan melaksanakan sulh bagi setiap kes yang didaftarkan di mahkamah dengan tujuan bagi membantu menyelesaikan kes dengan cepat dan juga memudahkan pihak-pihak yang bertikai untuk membuat keputusan tentang kes yang sedang dihadapi."Pegawai sulh telah dilatih dan dibekalkan peraturan serta arahan amalan supaya majlis sulh itu berjalan dengan tertib tanpa memperjudiskan mana-mana pihak. Apa yang diharapkan supaya matlamat bagi mencapai keputusan yang terbaik bagi semua pihak. Walaupun begitu pegawai sulh seharusnya mengambil perhatian supaya tidak membuat keputusan yang bercanggah derngan hukum syarak kerana Rasullullah S.A.W. melarang sulh ke atas perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T. sepertimana Hadis riwayat Imam Termizi yang bermaksud “ Sulh itu antara kalangan Muslim adalah suatu yang harus kecuali adalah yang mengharamkan sesuatu perkara halal atau menghalalkan sesuatu yang haram.”

Hadis diatas memberi panduan kepada pegawai sulh untuk bercermat didalam memutuskan perkara yang dibawa dihadapannya supaya tidak berlaku perkara yang termasuk didalam mengharamkan yang halal ataupun menghalalkan yang haram. Tujuan sulh juga dapat mengelak pihak yang tidak terlibat daripada mengetahui perkara yang tidak wajar didedahkan kepada umum dan juga dapat menjaga silaturrahim supaya tidak putus antara kedua belah pihak yang bertikai. Ini disebabkan kadang-kadang yang menjadi perebutan adalah anak-anak yang masih memerlukan kasih sayang daripada kedua ibubapa mereka. Sekiranya pihak yang bertikai itu dapat memahami keadaan ini sudah tentu sulh itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Terdapat kes - kes yang tidak diselesaikan secara sulh telah merosakkan hubungan antara anak dan ibu atau bapa kerana masing-masing pihak tidak dapat menerima keputusan mahkamah dengan hati yang terbuka.

Di mahkamah syariah telah terdapat arahan amalan yang ditepatkan bagi memudahkan semua kes sulh dilaksanakan seperti Arahan Amalan Bil No.1 Tahun 2010 berkaitan dengan Penentuan Kes Yang Perlu Dirujuk ke Majlis Sulh. Arahan Amalan No.4 tahun 2011 berkenaan Kesan Perjanjian Sulh, Arahan Amalan No.5, tahun 2015 berkenaan Notis Sulh secara akuan Penerima Pos Berdaftar, Arahan Amalan No 7 Tahun 2015 berkenaan Penyeragaman Proses Kerja Dan Carta Aliran Sulh seluruh Malaysia dan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (SULH) 2018.

Semua Arahan Amalan dan Tatacara Mal Sulh adalah bertujuan memudahkan semua pihak yang terlibat. Pegawai sulh adalah tertakluk kepada semua arahan amalan dan tatacara yang telah ditetapkan supaya proses sulh berjalan dengan baik dan mencapai kejayaan serta dapat membantu Mahkamah dalam mempercepatkan kes. Pegawai sulh juga tidak boleh melampaui semua arahan amalan dan tatacara sulh kerana proses sulh juga adalah sebahagian daripada kaedah penyelesaian kes yang dibenarkan oleh hukum syarak. Proses Sulh yang berjaya akan memudahkan Hakim dalam membuat keputusan dan semua pihak yang bertikai akan membuat satu keputusan yang dapat diterima oleh kedua-dua pihak sesuai dengan ayat Al-quran yang telah disebutkan didalam Mukaddimah makalah ini.

Apa yang diharapkan supaya semua orang Islam terutamanya mereka yang terlibat dengan Mahkamah Syariah supaya dapat mengambil perhatian dan cuba untuk menyelesaikan kes secara sulh bagi menepati perintah Allah dan juga membantu Mahkamah Syariah menjadi sebagai tempat penyelesaian yang terbaik bagi umat Islam keseluruhannya.

 

Dari Kamar Ketua Hakim Syarie.