faq jksnhubungi jksnmaklumbalas jksnpeta jksn

Pendahuluan

Setiap manusia pasti akan menemui kematian,sama ada dia sedari ataupun tidak dan sama ada dia mempunyai harta ataupun tidak. Bagi yang mempunyai harta menjadi tanggungjawab waris sama ada anak kandung atau sesiapa sahaja yang boleh menguruskan harta adalah layak sebagai waris. Mahkamah syariah adalah sebahagian daripada peranan tersebut, Mahkamah akan megeluarkan perintah faraid sebagai salah satu dokumen penting dalam pembahagian pesaka simati. Selepas berlakunya sesuatu kematian dan sebelum harta pusaka dibahagikan, waris-waris bertanggungjawab untuk menyelesaikan beberapa hak yang berkaitan dengan harta simati iaitu menelesaikan segala belanja urusan pengkebumian jenazah, menyelesaikan hutang simati dan menunaikan wasiat simati jika ada.

Belanja pengkebumian dan pengurusan jenazah

Belanja pengkubumian atau pengurusan jenazah bermakna semua perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk segala urusan berkaitan pengkebumian jenazah yang diiktiraf oleh syarak iaitu perkara yang wajib sahaja. Perbelanjaan ini boleh diambil daripada harta simati termasuklah pembelian peralatan kapan, keranda, upah membawa mayat kekubur. Belanja pengkebumian hendaklah berpatutan mengikut taraf hidup simati semasa hayatnya. Sehubungan dengan itu hendaklah dilakukan sekadar yang termampu tanpa berhutang, duit sedekah orang ramai ataupun khairat kematian, jika ada. Ulama berselisih pendapat siapakah yang bertanggungjawab mengeluarkan belanja pengkebumian dan urusan jenazah tersebut. Menurut pandangan mazhab Syafie, belanja mengkebumikan jenazah isteri adalah wajib keatas suami, walupun isteri yang mati itu seorang yang kaya. Ini disebabkan nafkah adalah wajib secara mutlak keatas suami dan belanja mengkebumikan adalah termasuk dalam maksud nafkah yang wajib keatas suaminya. Walaupun berlaku kematian, ikatan perkahwinan masih ada dan suami berhak mendapat pesaka, begitu juga sekiranya isteri diceraikan dalam eddah raj’e atau eddah bain tetapi sedang mengandung. Menurut pendapat Imam Hanafi dan Hanbali, tidak wajib keatas suami mengeluarkan belanja pengkebumian atau pengurusan jenazah isteri walaupun isteri itu seorang yang miskin. Ini adalah kerana perkahwinan telah terputus dengan kematian. Oleh sebab itu suami tidak harus menyentuh mayat isterinya, melihat kepadanya dan memandikanya.

Menyelesaikan hutang

Setelah urusan pengkebumian jenazah diselesaikan, hendaklah diselesaikan pula segala hutang simati. Mengikut jumhur ulama, hutang-hutang Allah adalah berkaitan dengan apa yang telah ditinggalkan oleh simati. Oleh itu hutang wajib ditunaikan sebelum diluluskan wasiatnya dan setelah disempurnakan belanja mengkebumikannya sama ada diwasiatkan oleh simati ataupun tidak. Hutang terbahagi kepada dua kategori iaitu hutang kepada Allah dan hutang kepada manusia. Mengikut pendapat yang asah dalam Mazhab al Syafie hutang kepada Allah seperti zakat, kifarat dan haji hendaklah didahulukan keatas hutang kepada manusia.

1. Hutang Kepada Allah

Hutang kepada Allah seperti zakat, kifarat, nazar, haji dan fidyah.

Zakat sekiranya simati mempunyai wang simpanan yang telah cukup haul dan nisab, sama ada simati sengaja ataupun tidak mahu mengeluarkan zakat atau tidak sempat mengeluarkannya semasa hayatnya, maka menjadi tanggungjawab waris untuk mengambil sebahagian daripada harta simati dan mengeluarkan zakat mengikut kadar yang wajib dikeluarkan.

Kifarat;

Jika kifarat puasa iaitu persetubuhan yang dilarang dalam bulan Ramadhan tidak sempat dilaksanakan oleh simati, maka wajiblah ke atas waris-waris menunaikan kifarat tersebut.

Nazar;

Sekiranya simati semasa hayatnya bernazar untuk melaksanakan nazar tersebut tetapi tidaki sempat melakukannya, maka wajib ke atas waris-waris menyempurnakan nazar tersebut.

Haji;

Sekiranya semasa hayatnya simati tidak sempat melaksanakan rukun Islam tersebut waris-waris hendaklah menunaikan upah haji tersebut.

Fidyah;

Sekira simati  semasa hayatnya ada meninggalkan puasa fardhu dan tidak sempat menqadanya kerana sakit dan seumpamanya, maka wajib ke atas waris-waris membayar fidhah puasa simati.

2. Hutang kepada manusia

Hutang kepada manusia iaitu hutang simati semasa hayatnya kepada seseorang. Sekiranya pemiutang memaafkan atau menghalalkan hutang tersebut maka gugurlah kewajipan menbayar hutang tersebut keatas waris-warisnya.

Menunaikan wasiat

Setelah menunaikan segala hutang simati waris-waris hendaklah menunaikan segala wasiat, sekiranya simati semasa hidupnya ada meninggalkan wasiat. Bagi waris-waris yang hendak melaksanakan wasiat tersebut hendaklah memastikan wasiat itu adalah sah mengikut hukum Syarak terlebih dahulu dengan membuat permohonan pengesahan sah wasiat di Mahkamah Syariah.

 

Catatan: Sila rujuk Buku Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka oleh Wan Abdul Halim Wan Harun.

Dari Kamar Ketua Hakim Syarie.