faq jksnhubungi jksnmaklumbalas jksnpeta jksn

Pada zaman jahiliah Arab, mempunyai anak dan pengikut yang ramai adalah keperluan yang penting dan dibanggakan, dengan kewujudan mereka bagi sesebuah keluarga atau kabilah, puak atau kumpulan, mereka berani berhadapan dengan musuh dan berupaya melakukan pertempuran atau serangan. Dalam surah Saba’ ayat 25,  Allah SWT telah merakamkan kemegahan suatu kumpulan kerana ramai anak pinak dan banyak harta yang bermaksud:

 “dan mereka berkata, kami lebih banyak harta benda dan lebih banyak anak pinak, serta kami tidak akan terseksa”.

Dalam surah At Taubah ayat 69 Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“seperti mereka(orang-orang kafir) (hai umat Islam) mereka lebih kekuatan sebelum kamu dan lebih banyak harta serta lebih ramai anak pinak daripada kamu, maka mereka telah bersenang-senang dengan nasib mereka maka kamu juga bersenang-senang dengan nasib kamu sepertimana mereka sebelum kamu dengan nasib mereka dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka telah perkatakan, mereka yang berbuat demikian rosak binasalah amalan-amalan (yang baik) di dunia dan di akhirat dan merekalah yang rugi”

Allah SWT telah merakamkan kisah orang-orang kafir yang berbangga dengan banyak harta benda dan ramai anak pinak. Pada zaman itu mana-mana puak atau kumpulan tidak ramai anak, mereka akan mengambil anak-anak angkat untuk meramaikan bilangan pengikut yang menjadikan mereka kuat.

Pada zaman permulaan Islam, berlaku pengambilan anak angkat di mana masyarakat telah tersalah sangka hingga melibatkan Rasulullah SAW sendiri dengan anak angkatnya bernama Zaid Bin Harithah. Peristiwa itu dirakamkan oleh Alquran dalam surah Al Ahzab ayat 4-5.

ANAK ANGKAT DALAM KELUARGA ISLAM

Pemeliharaan anak angkat dalam keluarga Islam hendaklah mencerminkan unsur-unsur Islam. Ia sama sekali tidak boleh dirahsiakan kerana langkah itu bertentangan dengan syariat Islam. Perkara-perkara yang wajib diberi perhatian semasa mengambil anak angkat ialah:

1. NASAB/KETURUNAN

Allah SWT menggariskan bahawa taraf anak angkat tidak seimbang dengan anak kandung dan bagi menjaga kesucian keturunannya maka dilarang daripada dinamakan dengan “bin” atau “binti” kepada ayah angkat.

Semasa mengiktiraf pengangkatan anak angkat hendaklah dibin atau dibintikan kepada bapa kandung atau kepada asma’ Allah seperti “Abdullah” dan lain-lain (jika bapa kandung tidak diketahui).

Anak angkat dianggap hanya sebagai saudara seagama atau “maula” kepada bapa angkat dan boleh juga dipanggil secara ringkas dalam hidup seharian sebagai “maula” (L) atau “maulad” (P) kepada bapa angkat.

2. WALI

Bapa angkat tidak boleh menjadi wali kepada anak angkat perempuan semasa perkahwinan. Walinya yang sah adalah bapa kandung atau ahli keluarganya yang asal mengikut tertib kewalian atau Wali Hakim. Mahkamah Syariah mempunyai prosedur yang tertentu sebelum melantik Wali Hakim.

3. WARISAN HARTA PUSAKA

Anak angkat tiada hak mewarisi harta pusaka ibu bapa angkat. Hubungannya dengan ibu bapa kandung tidak boleh diputuskan kerana dia masih berhak mendapatkan bahagiannya daripada kedua ibu bapa kandung.

Namun begitu, ibu bapa angkat digalakkan memberi ‘hadiah’ kepada anak angkat semasa hayat sebagai usaha mengelakkan sebarang kesulitan sepeninggalan mereka.

4. PERGAULAN DALAM KELUARGA

Ibu bapa angkat bertanggungjawab memberi kesedaran kepada anak angkat mengenai tarafnya dalam keluarga supaya dia tidak menganggap bapa angkat dan saudara-saudara angkat yang berlainan jantina sebagai mahramnya. Dengan cara itu dapatlah dielakkan pergaulan yang terlalu bebas dalam keluarganya.

Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 memberi kemudahan kepada ibu bapa angkat Islam mengesahkan hak jagaan ke atas anak angkat. Melaluinya juga mereka boleh memelihara nasab keturunan dan warisan anak angkat seperti yang ditetapkan dalam Islam.

Tetapi akta itu tidak melarang ibu bapa angkat yang hidup membujang memelihara anak angkat yang berlainan jantina daripadanya. Oleh itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak menggalak bakal ibu/bapa angkat berugama Islam yang hidup membujang memelihara anak angkat berlainan jantina kerana keadaan itu menimbulkan kerumitan setelah anak angkat meningkat dewasa.

Dipetik daripada buku bertajuk:

“Pemeliharaan Anak Angkat – Satu Panduan”

Oleh Puan Sri Nurzan Mohd Wahie

 

Disediakan oleh:

Unit Penyelidikan

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis