faq jksnhubungi jksnmaklumbalas jksnpeta jksn

PERKAHWINAN BAWAH UMUR

Masyarakat Malaysia telah digemparkan dengan perkahwinan bawah umur antara seorang lelaki yang berumur 41 tahun dengan seorang perempuan yang berusia 11 tahun. Perkahwinan ini telah mencetuskan perdebatan yang hangat di kalangan masyarakat Malaysia termasuk pihak Kerajaan tentang kewajaran perkahwinan tersebut. Timbul pelbagai persoalan tentang perkahwinan tersebut sama ada sah atau tidak di sisi Hukum Syarak dan Undang-undang.

PERNIKAHAN DALAM ISLAM

Sesungguhnya Islam telah memperundangkan hukum perkahwinan dengan peraturan yang cukup sempurna berdasarkan prinsip-prinsip yang kukuh serta lebih menjamin ketahanan masyarakat dan kebahagian keluarga, melaluinya tersebar kebaikan dan terpelihara akhlak serta kekal berterusan zuriat manusia.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Nur ayat 32 yang bermaksud:

Dan kahwinlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.....

Ayat di atas bermaksud laki-laki atau wanita-wanita yang belum berkahwin hendaklah dibantu dan dimudahkan agar mereka dapat berkahwin.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu mampu mengadakan perbelanjaan perkahwinan, maka hendaklah ia berkahwin kerana dengan perkahwinan lebih menundukkan pandangan mata dan lebih terpelihara kemaluan dan sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa kerana berpuasa boleh mencegahkan syahwatnya.                                                                                                                                                                                                                               (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkahwinan dalam Islam dapat menunaikan tuntutan fitrah, membantu masyarakat Islam untuk melahirkan generasi yang baik dan berakhlak, mewujudkan ketenangan jiwa dan kebahagian berkeluarga, memelihara keruntuhan akhlak dan memelihara martabat manusia dengan zuriat yang halal.

HUKUM NIKAH DALAM ISLAM

Hukum nikah dalam Islam bergantung kepada keadaan seseorang sama ada wajib, sunat, haram dan makruh.

  1. Wajib- bagi seseorang yang merasa yakin dirinya tidak selamat daripada perzinaan jika dia tidak berkahwin
  2. Sunat- bagi seseorang yang benar-benar berkeinginan dan berkemampuan serta tidak bimbang terjadinya perzinaan jika dia tidak berkahwin
  3. Haram- bagi seseorang yang tidak mampu menanggung nafkah isteri atau pasti akan melakukan kezaliman terhadap isteri jika dia berkahwin
  4. Makruh- bagi seseorang yang ingin berkahwin tetapi tidak berkemampuan menyediakan maskahwin dan nafkah.

UMUR PERKAHWINAN

Tidak ada umur minima perkahwinan di bawah hukum syara. Dalam al-Quran surah al-Nisa ayat 6, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan ujilah anak-anak yatim itu sehingga mereka cukup umur (mencapai umur perkahwinan). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya maka serahkanlah kepada mereka hartanya.

Umur dewasa di bawah undang-undang Islam tercapai apabila seseorang mencapai umur akil baligh. Seorang gadis dianggap dari segi undang-undang sudah dewasa apabila dia mulai datang haid. Umur awal seorang gadis datang haid ialah sembilan tahun. Jika tidak datang haid atau lain-lain tanda dewasa, mengikut Imam Abu Hanifah, umur dewasa gadis itu ialah 16 tahun.

Seorang budak lelaki dianggap dewasa apabila bermimpi dan keluar air mani. Umur paling minima 12 tahun. Jika tidak, mengikut Imam Abu Hanifah seorang budak lelaki dianggap dewasa apabila mencapai umur 18 tahun. Kebanyakkan mazhab berpendapat bahawa umur baligh yang menjadi penentu keupayaan seseorang itu untuk berkahwin.

PERKAHWINAN MENURUT UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM PERLIS

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 2006, seksyen 8 telah memperuntukkan seperti berikut:

Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Menurut seksyen ini, semua orang Islam di negeri Perlis tidak dibenarkan berkahwin jika umur belum mencapai 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Walaubagaimanapun, Hakim Syarie boleh memberi kebenaran bagi mereka yang berumur kurang daripada 18 dan 16 tahun tersebut untuk berkahwin secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. Pihak-pihak yang ingin berkahwin dibawah umur, hendaklah memfailkan permohonan. Kebiasaannya yang memfailkan permohonan adalah anak yang akan berkahwin itu. Semasa perbicaraan, pemohon akan memberi keterangan dengan menyatakan sebab dan tujuan perkahwinan itu wajar dilakukan. Selain keterangan pemohon, wali atau penjaga kepada pemohon itu juga akan diambil keterangan semasa perbicaraan. Berdasarkan keterangan pemohon, wali atau penjaga, maka hakim akan memutuskan sama ada wajar diberi kebenaran atau tidak untuk pemohon berkahwin dibawah umur tersebut. Terdapat beberapa faktor pernikahan bawah umur ini dimohon di Mahkamah Syariah. Antaranya faktor pendidikan, pergaulan bebas, terlanjur dan sebagainya. Sejak tahun 2013 sehingga tahun 2017, sebanyak 107 kes permohonan perkahwinan dibawah umur telah direkodkan di negeri Perlis. Daripada jumlah tersebut sebanyak 106 kes telah diluluskan dan hanya satu kes ditolak. Berbalik kepada isu pernikahan bawah umur antara seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun dan wanita warganegara Thailand berumur 11 tahun, bagi menentukan sah atau tidak perkahwinan itu, hendaklah dilihat daripada dua sudut iaitu Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam.

Dari sudut hukum, Hukum Syarak tidak menetapkan had umur untuk seseorang itu berkahwin. Namun kebanyakkan ulama berpendapat dan bersetuju bahawa umur baligh dikira keupayaan seseorang itu untuk berkahwin. Mazhab Syaf’ie membenarkan seorang gadis yang belum baligh untuk berkahwin tetapi hendaklah diwalikan oleh wali mujbir kepada gadis itu iaitu bapa atau datuk sebelah bapa. Dalam Mazhab Hanafi pula, wali boleh mengahwinkan seorang gadis yang belum baligh tetapi perempuan itu mempunyai hak atau pilihan untuk membatalkan atau menolak pernikahan itu apabila dia mencapai umur baligh. Dari sudut Undang-undang Keluarga Islam pula, Seksyen 8, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2006, tidak membenarkan perkahwinan di bawah umur ini kecuali dengan kebenaran Hakim Syarie. Seksyen ini sebenarnya telah meraikan kedua-dua sudut tersebut iaitu hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam demi menjaga maslahah ‘ammah. Jika tidak dibenarkan ia bersalahan dengan hukum syarak. Oleh itu, seksyen ini membenarkan perkahwinan dibawah umur tetapi bersyarat dengan kebenaran Hakim Syarie.

Sebelum membenarkan perkahwinan dibawah umur ini, Hakim Syarie akan mendengar dengan teliti semua keterangan pemohon dan wali atau penjaga, tujuan perkahwinan tersebut, sebab-sebab perkahwinan itu perlu diadakan, latar belakang keluarga kedua-dua belah pihak dan apa saja yang berkaitan dengan perkahwinan itu semasa perbicaraan. Setelah Hakim Syarie berpuashati dengan keterangan dan dokumen yang dikemukan barulah keputusan dibuat sama ada membenar atau menolak permohonan tersebut.

KESIMPULAN

Mahkamah Syariah memainkan peranan penting dalam menjaga maslahat umat Islam khususnya di Perlis dan umumnya di Malaysia. Pergaulan bebas muda mudi sekarang sukar dibendung apatah lagi dalam dunia yang bergerak pantas dan maklumat dihujung jari sekarang ini. Jika tidak dibenarkan langsung perkahwinan dibawah umur ini, dibimbangi akan berlaku gejala negatif yang buruk dan parah seperti hamil luar nikah, penularan penyakit kelamin, HIV, pembuangan anak dan sebagainya.

Islam datang membawa rahmat seluruh alam. Perkahwinan merupakan salah satu cara Islam menyelesaikan masalah yang melanda umat Islam kini. Perkahwinan dapat memelihara keluarga dan masyarakat Islam. Namun perkahwinan dibawah umur perlu diberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya sebelum dibenarkan agar ia tidak memberi kemudharatan kepada kanak-kanak tersebut. Aspek kebajikan dan keselamatan kanak-kanak tersebut perlu diutamakan agar tidak berlaku penganiayaan dalam perkahwinan itu.

Disediakan oleh:

UNIT PENYELIDIKAN

JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PERLIS