faq jksnhubungi jksnmaklumbalas jksnpeta jksn

  OTHMAN2

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

Salam sejahtera, Salam Perlis, Salam 1 Malaysia

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Assalamualaikum wrt. wbt. Alhamdulillah, saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan segala limpah kurniaan-Nya kita diberi kudrat untuk meneruskan kesinambungan bagi melaksanakan amanah Allah SWT di maka bumi ini. Semoga dengan kehadiran tahun 2019 ini dimulakan dengan semangat dan azam yang baru serta dibuka segala pintu kebaikan oleh Allah SWT Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Pertamanya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh warga JKSNPs atas pencapaian yang membanggakan sepanjang  tahun 2018 yang telah pun melabuhkan tirainya. Bagi tahun 2018, JKSNPs telah berjaya melaksanakan segala perancangannya dengan cemerlang.

Sebagai Ketua Jabatan, sukacita saya ingin maklumkan bahawa, pada tahun 2018 jumlah pendaftaran semua kes adalah sebanyak  1889 kes. Daripada jumlah tersebut sebanyak 1552 atau 82% kes telah berjaya diselesaikan manakala 337 kes atau 18% masih didalam prosiding.

Pada tahun 2018 juga, JKSNPs telah berjaya menjadi johan keseluruhan Sukan Antara Agensi Agama di Perlis(SUKIPs). Selain itu, Jabatan ini juga telah melaksanakan satu inovasi baru iaitu sistem I-Post. Melalui sistem ini, semua perintah penceraian terus dihantar ke Unit Nikah Carai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Perlis. Ini telah memudah dan menjimatkan masa orang ramai kerana penceraian mereka terus didaftarkan di Jabatan Agama Islam Perlis. Tahniah juga saya ucapkan kepada Unit ICT Jabatan kerana telah berjaya memperolehi markah tertinggi di Negeri Perlis apabila laman web rasmi Jabatan telah berjaya mematuhi 10 kriteria pemantauan yang ditetapkan oleh MAMPU bagi tahun penilaian 2018.

Pada tahun 2019, JKSNPs telah merancang pelbagai program untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada orang ramai khususnya rakyat negeri Perlis. Pihak jabatan juga akan berusaha melaksanakan inovasi baru melalui Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) bagi memacu perubahan yang lebih baik dan penyampaian perkhidmatan yang lebih efisyen dan berkesan kepada masyarakat.

Dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan keberkesanan dan kecekapan jentera pentadbirannya melalui penggunaan teknologi maklumat, saya berharap agar Laman Web jabatan menjadi salah satu medium informasi kepada masayarakat. Penggunaan e-mel dikalangan kakitangan perlu dioptimumkan bagi tujuan komunikasi dan seterusnya menyumbang ke arah pengwujudan persekitaran paperless.

Saya berharap agar semua kakitangan akan berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kaunter untuk memastikan perkhidmatan kaunter yang diberikan oleh pihak jabatan memuaskan hati pelanggan dan seterusnya mewujudkan perkhidmatan kaunter yang mesra pelanggan.

Kepada semua Hakim Syarie di Negeri Perlis ini, besar harapan saya sekiranya masih ada kes-kes tertunggak di Negeri Perlis ini, ianya dapat diselesaikan dengan segera. Sekiranya punca tertangguhnya kes-kes tersebut disebabkan faktor kelemahan mahkamah, maka ianya perlulah diperbaiki dan ditangani segera. 

Saya mengingatkan kepada diri saya dan semua kakitangan terutamanya para Hakim dan petugas kaunter agar memberikan layanan yang baik dan menghormati  pihak-pihak sewaktu prosiding sedang berjalan termasuklah menghormati peguam-peguam yang mewakili kes. Berlemah lembut bukan bermakna kita boleh dipergunakan sebaliknya dengan mempamerkan sikap tegas boleh meningkatkan lagi rasa hormat pihak-pihak kepada Mahkamah.

Saya berharap pada tahun 2019, JKSNPs akan lebih cemerlang dengan program dan aktiviti yang dirancang khususnya untuk JKSNPs sendiri dan umumnya untuk rakyat dan masyarakat Negeri Perlis.

Akhir kalam daripada saya, terima kasih sekali lagi kepada semua atas segala usaha dan tenaga yang telah dicurahkan sepanjang tahun 2018. Semoga jabatan yang kita sayangi ini akan terus bergerak maju dan menjadi institusi kehakiman syariah yang berwibawa berteraskan keadilan.

Inshaa Allah....

 

Sekian, Wassalam.

YANG AMAT ARIF TUAN HAJI OTHMAN BIN IBRAHIM

KETUA HAKIM SYARIE

JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI PERLIS