faq jksnhubungi jksnmaklumbalas jksnpeta jksn

 

DEFINISI SULH

Sulh mempunyai beberapa pentakrifan. Pada dasarnya definisi ini boleh dikategorikan kepada dua pentakrifan iaitu berdasarkan hukum syarak dan undang-undang Islam yang dikuatkuasakan di Negeri Perlis. Sulh menurut bahasa diertikan sebagai “penamatan sesuatu pertikaian” atau “berbuatbaik”. Manakala menurut istilah syarak pula adalah “suatu aqad yang dengannya tamat sesuatu pertikaian”.

Majallah Al-Ahkam Al-Adliyyah, al-Sheikh Nazzam dan Qadri Basha menerangkan sulh ialah akad yang menamatkan pertikaian secara sukarela dan redha meredhai. Ada juga yang merujuk Sulh dalam terma yang lain iaitu Mediasi. Mediasi boleh didefinisikan sebagai “proses di mana satu pihak (pihak ketiga atau mediator) membantu dua pihak yang bertikai antara satu sama lain berunding dan mencapai penyelesaian secara damai”.

Ini bermakna mediasi merupakan ‘perundingan secara terpimpin’ secara langsung kepada pihak-pihak yang bertikai oleh mediator.

DALIL-DALIL MENGHARUSKAN SULH

Islam sememangnya menggalakkan amalan Sulh berdasarkan sifatnya yang mengutamakan perdamaian secara redha meredhai. Terdapat dalil-dalil yang jelas dalam al-Quran, al-Sunnah dan pendapat fuqaha’ yang menyeru ke arah pelaksanaan Sulh. Al-Quran secara nyata menganjurkan perdamaian sepertimana Firman Allah S.W.T di dalam Surah al-Hujurat ayat 9:

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah diantara keduanya”

Allah S.W.T. juga berfirman di dalam Surah al-Nisa’ayat 128 yang bermaksud:

“Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian diantara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya) kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai berai)“

Rasulullah SAW juga amat menggalakkan umatnya untuk mencari perdamaian dan mengelakkan pertikaian sesama sendiri. Peristiwa Rasulullah menyelesaikan pertikaian di antara pembesar Quraysh mengenai hak untuk meletakkan Hajr al-Aswad membuktikan amalan Sulh ini benar-benar dianjurkan oleh Islam. Malahan baginda sendiri menganjurkan penyelesaian pertelingkahan secara Sulh walaupun baginda mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan secara bersendirian.


PROSES SULH DI MAHKAMAH SYARIAH

Sulh di mahkamah syariah adalah tertaluk kepada peruntukan Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Perlis. Seksyen tersebut menyatakan seperti berikut:

“Pihak-pihak dalam apa-apa prosiding boleh, pada mana-mana peringkat prosiding itu, mengadakan sulh bagi menyelesaikan pertikaian mereka mengikut apa-apa kaedah sebagaimana yang ditetapkan atau, jika tiada kaedah sedemikian, mengikut Hukum Syarak”.


Arahan Amalan No 1 Tahun 2010 menyenaraikan jenis kes yang perlu dirujuk ke majlis Sulh pada peringkat pendaftaran kes. Jadual berikut menunjukkan jenis kes yang dirujuk ke majlis sulh:

Kod Kes

Jenis Tuntutan

Rujukan

009

Gantirugi Pertunangan

 S.15 EUUKI

016

Mutaah

 S.58 EUUKI 

017

Harta Sepencarian

 1.122 EUUKI

018

Nafkah Isteri

 S.60, S.62, S.65, S.68,  S.70, S.71 EUUKI

019

Nafkah Kepada Pihak Tak Upaya

 S.61 EUUKI

020

Cagaran Nafkah

 S.63, S.75 EUUKI

021

Nafkah Eddah

 S.66 EUUKI 

022

Mengubah Perintah Nafkah Anak/Isteri/Lain-lain

 S.67 EUUKI

023

Tunggakan Nafkah Anak/Isteri/Lain-lain

 S.70 EUUKI

024

Nafkah Anak

 S.73, S.74, S.75, S.78,  S.79, S.80, S.81 EUUKI

025

Mengubah Perintah Hak Jagaan/Nafkah Anak

 S.76 EUUKI

026

Mengubah Perjanjian Hak Jagaan/Nafkah Anak

 S.77 EUUKI

028

Hadhanah

 S.82, S.83, S.84, S.85,  S.86, S.87, S.88 EUUKI

049

Gantirugi Perkahwinan/Hutang Perkahwinan

 S.61 EPAI

059

Hak Tempat Tinggal

 S.72 EUUKI

060

Perintah Supaya Suami Tinggal Bersama Semula

 S.121 EUUKI

062

Perintah Isteri Kembali Taat

 S.52 EUUKI

063

Mas Kahwin

 S.59 EUUKI

 

*           Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2006 Negeri Perlis (EUUKI)

*           Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Ngeri Perlis (EPAI)

Walaubagaimanapun, Sulh tidak terpakai kepada kes-kes pembubaran Perkahwinan dan juga Penentuan Nasab berdasarkan Arahan Amalan No. 3 Tahun 2002.

Arahan Amalan No. 4 Tahun 2006 menerangkan bahawa mana-mana perjanjian persetujuan Sulh tidak boleh dilaksanakan atau dikuatkuasakan tanpa terlebih dahulu memperolehi perintah Mahkamah. Jika kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan tindakan itu, keseluruhan atau sebahagian, Pengerusi Majlis Sulh hendaklah menyediakan draf persetujuan dan mengemukakannya kepada pihak-pihak untuk disahkan dan ditandatangani, selepas itu Pengerusi hendaklah menyampaikan draf persetujuan tersebut kepada Mahkamah untuk direkodkan sebagai penghakiman persetujuan.

Arahan Amalan No. 5 Tahun 2006 menyatakan kesan perjanjian persetujuan Sulh yang menepati kehendak Hukum Syarak yang telah direkodkan dan disahkan oleh Mahkamah tidak boleh ditarik balik dan tidak boleh dirayu oleh pihak-pihak yang terlibat dengan perjanjian persetujuan tersebut. Walaubagaimanapun pihak-pihak boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mengubah perintah tersebut sekiranya terdapat perubahan kepada fakta yang berkaitan terhadap kes tersebut.

Kesimpulanya, Sulh merupakan proses penyelesaian pertikaian yang menjimatkan kos, tenaga dan masa pihak-pihak di samping mendapat keputusan yang ditentukan sendiri oleh pihak-pihak.